Persoalan mungkin, ikhtilat IKHWAH dan AKHAWAT, Bagaimana dengan kita?. Sesungguhnya menjadi kewajipan bagi seseorang muslimin-muslimat yang beriman kepada Allah dan Rasul itu menjauhi ikhtilat yang haram antara lelaki dan perempuan. Hendaklah seorang wanita itu apabila telah cukup ilmu dan fahamnya dan terlibatnya di dalam dakwah untuk memastikan dirinya jauh dari ikhtilat (percampuran lelaki-perempuan) yang bukan mahramnya.
Perlanggaran batas-batas pergaulan muslimin-muslimat masih terjadi dan hal ini mungkin disebabkan kerana :
1. Belum mengetahui batas-batas pergaulan.
2. Sudah mengetahui, namun belum memahami.
3. Sudah mengetahui namun tidak mahu mengamalkan.
4. Sudah mengetahui dan memahami, namun tergelincir kerana lalai.
Kita mungkin sibuk menghiasi penampilan luar kita dengan menyimpan janggut, berkopiah ataupun dengan tudung labuh warna-warni. Kita sibuk berhiaskan simbol-simbol front Islam namun lupa substans Islam. Kita bersungguh belajar ilmu Islam namun tidak fokus pada pemahaman dan amal.
Aktivis sekular tidak lagi segan dengan kita!!! Seorang ustaz bercerita bahawa ada aktivis sekular yang berkata kepadanya, ” Ustaz, dulu saya respect pada Islamic student, pakai tudung labuh, berkopiah kerana pandai menjaga pergaulan muslimin-muslimat, namun kini mereka sama saja dengan kami. Kami jadi tak segan lagi.”
Ungkapan aktivis sekular di atas memalukan kita selaku jundi-jundi yang ingin memperjuangkan agama-Nya. Menjaga pergaulan lelaki-perempuan memang bukanlah hal yang mudah kerana fitrah lelaki adalah mencintai wanita dan demikian pula sebaliknya. Hanya dengan keimanan yang kukuh dan mujahadah sajalah yang membuat seseorang dapat istiqomah menjaga batas-batas ini.
Pelanggaran batas-batas pergaulan Ikhwah dan Akhawat masa kini
1. Tidak Menundukkan Pandangan ( Gadhul Bashar )
Bukankah ada pepatah yang mengatakan, ” Dari mana datangnya cinta ? Dari mata turun ke hati”. Maka jangan kita ikuti seruan yang mengatakan, “Ah, tidak perlu gadhul bashar, yang penting kena jaga hati!” Namun, bukanlah menunduk pandangan sehingga terlanggar tiang tapi cukup sekadar kita memastikan pandangan kita terjaga daripada melihat sesuatu yang tidak syarie. Lelaki memandang wanita dengan penuh nafsu dan tidak alah juga wanita yang berkelakuan demikian walau tampil “warak berbungkus“.
2. Couple
Duduk berdua di taman-taman, tepi-tepi malah ada yang lebih licik dengan menggunakan platform rasmi yang bernama ‘meeting’ ditempat2 yang mencurigakan. Walaupun kebanyakan masyarakat pelajar Azhar mahupun masyarakat arab tidak mempedulikan sebegini kerana menganggap ustaz-ustazah yang berduaan ini sedang berdiskusi tentang Islam dan tugas, namun apapun alasannya, maka menutup pintu fitnah ini adalah langkah terbaik dan wajib bagi kita.
3. “Chop awal2″ Untuk berkahwin
“Bagaimana, ustazah? Tapi tiga tahun lagi baru kita kahwin. Ana takut enti diambil orang.” Akhawat belum tamat belajar sehingga ‘dichop’ seorang ikhwah untuk menikah kerana takut kehilangan, padahal belum pasti hasrat itu akan tercapai. Hal ini sangatlah berisiko dan boleh mendatangkan permusuhan dan perpecahan bukan setakat semasa belajar, malah akan berlanjutan ke tanah air. Bukankah Nabi sallahu Alihi Wasallam sendiri melarang kita daripada ‘chop awal’ atau bertunang terlalu lama. Dengan kata mudah ‘kalau rasa diri sudah berpunya dan serius dalam hubungan, eloklah dipercepatkan urusan akad antara keduanya takut-takut terjerumus kekancah maksiat. Justeru, mana mungkin hubungan suci suami isteri akan terbina kekal di atas timbunan sampah kemaksiatan. ‘
4. Telefon Tidak ‘Urgent’
Menelefon dan berborak tidak tentu arah yang tidak ada nilainya sama ada soal pengajian mahupun atau soal tugas berpersatuan. Kalau setakat bertanya khabar, bercakap soal hati dan perasaan atau apa sahaja yang bersifat tidak syarie tanpa batas, ana gusar apa akan kita jawab dihadapan Allah nanti. Apa yang lebih malang, kita selaku daei, ulamak dan harapan masyarakat di luar sana sebagai benteng terakhir umat Islam yang membawa mandat besar selaku agen pengubah masyarakat, harus menunjukkan teladan dan nama yang baik dengan mengenepikan sebarang salah laku
5. SMS Tidak ‘Urgent’
Saling berchatting via SMS mengenai hal-hal yang tak ada kaitannya dengan da’wah, sampai tak sedar kredit dah habis. Sudah tiba masanya kita matang dan bermuhasabah dengan kehadiran teknologi yang sudah sekian lama kita nikmati. SMS tidak sepatutnya dijadikan medan melempiaskan nafsu serakah dengan berabang-sayang tapi sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan yang lebih murni dan berfaedah untuk menempah tiket ke syurga Allah Subhanahu Wataala.
6. Berbicara Mendayu-Dayu
Bercakap sambil tertawa kecil dan terdengar sedikit manja. Bukankah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarang perempuan daripada bercakap dengan suara yang mendayu-dayu dan dibuat-buat untuk menarik perhatian lelaki. Jadilah wanita yang bermaruah dengan sedikit bertegas bila bercakap dengan lelaki yang bukan mahram. Si lelaki pula. Jadilah mukmin yang ‘gentleman’ dengan menghormati perempuan mukminat. Hormat dalam erti kata menjaga dan memelihara maruah kaum hawa yang bakal menjadi tempat letaknya zuriat kita, penerus generasi beragama masa depan.
7. Yahoo Messenger/Chatting Yang Tidak ‘Urgent’
YM adalah termasuk satu kemudahan. Tidaklah berdosa bila ingin menyampaikan hal2 penting di sini. Namun menjadi bermasalah bila topik perbicaraan melebar entah kemana dan tidak fokus pada da’wah kerana khalwat secara maya mudah untuk berlaku.
Firman Allah Subhanahu Wataala :
Rasulullah s.a.w bersabda, ” Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka jangan sekali-kali dia bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak bersama mahramnya, kerana yang ketiganya ialah syaitan.” (HR. Ahmad)
Penutup
Ikhtilat Ikhwah dan Akhawat, seksiskah kita? Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan, jelaslah kepada kita bahawa pergaulan atau ‘ikhtilat’ di antara lelaki dan wanita tanpa sebab-sebab munasabah yang dibenarkan adalah dilarang sama sekali dan membawa kepada dosa.
Maka sewajarnya ke atas kaum Hawa menjaga batas-batas pergaulan hariannya dengan kaum Adam. Ini kerana ‘ikhtilat’ yang melanggar batas2 syariat akan menyebabkan fitnah serta kerosakan hati dan akhlak di dalam kalangan masyarakat Islam. Seterusnya ia boleh menjatuhkan martabat wanita itu sendiri.
Jadilah lelaki yamg mampu membela dan memimpin kaum hawa ke jalan yang membawa mereka ke syurga. Bukankah sekiranya kita sayangkan seseorang, sayang kita akan lebih bermakna jika kita sama2 memperoleh syurga. Mana mungkin lafaz sayang dan kasih kita terpalit lumpur yang natijahnya adalah neraka.
Lupakan persoalan salah siapa antara kita tapi letakkan pertanyaan dalam benak sanubari kita, Ikhtilat antara ikhwah dan akhawat, bagaimana dengan kita? Adakah kita terlibat sama?. Jangan sampai suatu masa anak cucu kita mentertawakan dan menghukum kita lantaran salah laku yang kita adakan hari ini. Wallahu ‘alam
Sumber: http://achiksolehah .wordpress. com/2007/ 11/27/menjaga- ikhtilatmari- renung-dan- amalkan/
RESPONS:
Tidak Menundukkan Pandangan ( Gadhul Bashar )
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
(An-Nur: 30)
Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan."
Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat ini menyebut bahawa, “Ini adalah arahan daripada Allah kepada hamba-hambanya yang beriman untuk menundukkan pandangan mereka daripada melihat apa yang telah diharamkan ke atas mereka. Mereka sepatutnya melihat kepada apa yang dihalalkan kepada mereka, dan menundukkan pandangan mereka. Andaikata pandangan seseorang itu tanpa sengaja melihat sesuatu yang diharamkan, dia perlu memalingkan pandangannya secepat mungkin.”
Kemudian Ibn Katsir membawakan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab shahih beliau daripada Jarir yang bertanyakan kepada Rasulullah SAW,
سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ نَظْرَةِ الْفَجْأَةِ فَقَالَ اصْرِفْ بَصَرَكَ
“Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang pandangan sepintas lalu. Maka dia menjawab, “Palingkan pandanganmu.”
Hadith Shahih Riwayat Muslim
Selain itu terdapat beberapa hadith shahih lagi yang menerangkan mengenai hal ini. Dan jelas bahawa menundukkan pandangan bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng.
Couple, “Chop awal2″ Untuk berkahwin
Tiada istilah couple di dalam Islam. Dan tiada juga istilah “chop awal-awal” untuk berkahwin. Dan tidak ada guna menggunakan istilah “chop” untuk menghalalkan perbuatan “couple” ini.
لم نر للمتحابين مثل النكاح
“Kami tidak melihat di antara dua orang yang saling menyukai melainkan perkahwinan.”
Diriwayatkan oleh Ibn Majah di dalam Sunannya, dinilai sebagai shahih oleh al-Albani di dalam Silsilah as-Shahihah serta Shahih Wa Dha’if Sunan Ibn Majah.
Mereka yang saling menyukai tidak akan berakhir melainkan dengan perkahwinan. Jika benar, anda menyukai seseorang gadis. Maka pinangilah ia. Kerana itu sesungguhnya lebih baik untuk orang yang beriman daripada menjerumuskan diri daripada lembah kehinaan.
Malang sekali bagi mereka yang sudah layak untuk bernikah, tetapi menangguhkan hal ini dengan alasan kononnya ingin mengambil lebih masa untuk mengenali bakal isteri, atau kononnya untuk memilih bakal isteri yang benar-benar sesuai.
وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
(An-Nur: 32)
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.
Ibn Katsir ketika menafsirkan
وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu”
berkata bahawa “Ini adalah arahan untuk berkahwin.”
Rasulullah SAW berkata;
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
“Wahai pemuda, siapa sahaja dari kalangan kamu yang mampu untuk berkahwin, maka berkahwinlah, kerana ianya adalah lebih berkesan dalam menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan mereka. Siapa yang tidak mampu untuk berbuat demikan, maka berpuasalah, kerana ia adalah perlindungan buatnya.”
Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan juga Muslim
Jika sudah mampu untuk berkahwin, maka berkahwinlah. Dan jika tidak, usah sesekali mendekatkan diri anda dengan perkara yang tidak berfaedah.
Berbicara Mendayu-Dayu
Allah telah menjadikan Ummuhatul Mu’minin sebagai contoh terbaik dalam hal ini kepada semua muslimat yang lain.
يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا
(Al-Ahzab: 32)
Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain jika kamu bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ
“Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja.”
Ibn Katsir menyatakan bahawa As-Suddi dan yang lain berpendapat bahawa ayat tersebut membawa makna ‘jangan bercakap dalam keadaan lemah lembut apabila berbicara dengan lelaki.’
وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوف
“Dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik.”
Ibn Zaid berkata: “Kata-kata yang mulia dan cantik yang diketahui elok (ma’ruf).” Ini bermakna dia (muslimat) sepatutnya berbicara dengan seorang lelaki yang bukan mahramnya dalam keadaan yang tiada kelembutan (yakni tegas-pent), sebagai contoh, seorang wanita tidak boleh berbicara dengan lelaki yang bukan mahram sebagaimana dia berbicara dengan suaminya.
Wanita perlu bercakap dalam nada yang tegas apabila berbicara dengan seorang lelaki yang bukan mahramnya. Dan tidak sepatutnya untuk seorang wanita solehah berbicara dalam keadaan mendayu-dayu, lembut, mahupun merengek yang mana sifat tersebut tidaklah layak untuk dibawa olehnya.
Telefon Tidak ‘Urgent’, SMS Tidak ‘Urgent’, Yahoo Messenger/Chatting Yang Tidak ‘Urgent’.
Dan termasuk dalam perkara yang baik bagi seorang mu’min adalah dengan meninggalkan perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan faedah bagi dirinya, mahupun pada diri orang selainnya. Perbuatan ‘telefon’, ‘SMS’ mahupun ‘YM’ atau ‘chatting’ yang tidak mendatangkan sebarang faedah adalah termasuk di dalam perkara yang sia-sia. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan perhubungan antara dua orang; iaitu lelaki dan wanita.
Rasulullah SAW bersabda bahawa,
مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكَهُ مَا لَا يَعْنِيهِ
“Sebahagian daripada kebaikan keislaman seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya.”
Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi dan beliau menghukumnya sebagai hasan. Dan al-Albani menilainya sebagai shahih di dalam Shahih Wa Dha’if Sunan Tirmdizi (2317) dan (2318)
Islam tidak pernah menyempitkan perjalanan da’awah. Namun amat malang bagi mereka yang mempergunakan kemudahan teknologi sebagai satu cara untuk ‘menghalalkan’ ikhtilat. Bukankah lebih baik untuk dimanfaatkan setiap ruang yang ada dalam da’awah ini dengan cara yang betul?
Sekilas lalu mengenai komentar saya pada isi yang ketiga, sikap yang tegas, bukan hanya di dalam bicara. Tetapi juga perlu diterap dalam perhubungan melalui ‘SMS’, ‘YM’, mahupun ‘chatting’. Sikap tegas di sini bermaksud untuk berurusan di atas perkara yang perlu sahaja, dan mengelakkan ‘perbualan maya’ yang meleret-leret dan tak punya manfaat. Tidak perlu untuk berbual-bual kosong yang mana mampu menimbulkan fitnah.
Tinggalkan perkara yang tidak perlu. Amat menakutkan mengenangkan hakikat bahawa kadangkala kita terleka dengan perkara yang bathil sehingga menyebabkan kita terlupa perkara yang perkara yang lebih perlu diutamakan.
Dan peringatan ini tidaklah saya tujukan melainkan kepada diri saya sendiri.Allahua’ lam.
Abu Fadhl
Sumber: http://life- verses.blogspot. com/
Tidak ada komentar:
Posting Komentar